Sabtu, Julai 19, 2008

HASIBU ANFUSAKUM


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran sama-sama kita rafa'kan buat Pencipta seluruh alam yang masih mengan ugerahkan kepada kita nikmat iman dan Islam malah hingga ke saat ini kita juga masih dipinjamkan dengan nikmat usia dan kesihatan untuk terus mencari bekalan sebelum dijemput untuk pulang.
Sedar mahu pun tidak, waktu berputar meninggalkan kita hari demi hari. Sejurus dari itu, adakah kita hari ini menyedari bahawa kita merupakan hambaNya di atas muka bumi ini? Adakah kita telah seratus peratus memperhambakan diri padaNya? Sepertinya sudah seringkali kita didengarkan dengan firman Allah swt yang berbunyiوما خلقت الجن والنسان الا ليعبدون namun begitu dengan segala nikmat dan anugerah yang diberikan ini adakah kita telah benar-benar menjadi a'bid yang sejati???
Saudara seIslamku,
Kita perlu menyedari realiti sebuah kehidupan. Ingatlah tujuan asal kita dilahirkan ke dunia ini adalah untuk menjadi hamba kepadaNya. Bukan sekadar hamba yang bergelar manusia namun adalah hamba yang memperhambakan dirinya hanya kepada yang Maha Esa. Rebutlah peluang dan masa yang ada untuk kita mempergunakannya bagi mencari redha dan rahmat Ilahi semata-mata kerana sebaik-baik manusia adalah ada di dalam dirinya lima perkara ini, iaitu;
1)Selalu beribadah kepada tuhannya
2)Ikhlas dalam segala perbuatan zahir dan batin
3)Tidak melakukan perbuatan yang menyakitkan orang lain
4)Sentiasa berharap kepada Tuhannya dalam setiap sesuatu
5)Sentiasa bersiap sedia untuk mati
Tergolongkah kita dalam sifat yang lima ini???
Pejuang dan srikandi Islam sekelian,
Litar kehidupan kita di atas muka bumi ini adalah sebuah pentas lakonan yang akan di lakonkan semula di hari pembalasan kelak. Andai diri ini terus hanyut dan lalai dengan keasyikan duniawi hingga lupa memperhambakan diri padaNya, di manakah kita
di sisi yang Maha Kuasa??? Tanamkanlah sifat mujahadah di dalam diri agar kita mampu melawan segala nafsu untuk merebut dan mencari peluang untuk terus memperhambakan diri sebagai mahkluk yang punyai amanah di atas muka bumi ini.
Mungkin kita tidak mampu menjadi a'bid seperti para sahabat di zaman Rasulullah,
namun apa yang utama adalah kesungguhan kita untuk cuba menjadi a'bid seperti mereka. Niatkanlah segala amalan yang kita lakukan sama ada ringan mahu pun berat,
besar mahu pun kecil adalah semata-mata kerana Allah swt dan bukan kerana pangkat, darjat dan seumpanya. Andai kita tersimpang dari niat kita yang asal maka yakinlah kita tidak akan mencapai dan merasai akan nikmat nilaian seorang hamba yang sebenar.
Oleh yang demikan, pupuk dan semaikanlah benih keinsafan dalam diri agar diri kita mampu menjadi a'bid sejati di sisi Allah swt. Selaku seorang yang mengaku dirinya Islam maka sewajibnya ia sentiasa memuhasabah diri agar kesilapan lalu tidak diulangi.Ingatlah dunia ini hanya persinggahan buat kita selaku pedagang yang cuba mencari keuntungan atas modal dan janji yang telah dimetrikan. Rebut dan berusahalah agar kita tidak ketingglan untuk menikmati erti sebuah kasih sayang yang hakiki dari Rabbul-Izzati. Sama-samalah kita berdoa agar Allah tetap mengurniakan kepada kita jiwa pejuang, alim dan a'bid yang tidak pernah gerun kepada mereka demi menegakkan Islam di persada dunia.
Semoga kita diberi tempat yang sewajarnya oleh Allah dengan pengorbanan yang tidak pernah mengharapkan sebarang pulangan ini.Yakinlah akan janji-janji Allah . Moga kita mampu menjadi a'bid yang sejati di sisiNya.Insya'Allah…

Tiada ulasan: